KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) sedang berhasrat untuk mempercepatkan lagi usaha dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) tahun ini daripada memperkayakan pengalaman pelanggan sehingga mengoptimumkan proses operasi.

Pengerusinya Datuk Zainal Abidin Putih dalam Laporan Tahunan TM 2023 berkata tahun ini, kumpulan itu menyasarkan untuk memanfaatkan kuasa teknologi itu untuk meningkatkan kehidupan dan perniagaan melalui penyelesaian yang lebih bijak.

"Ini termasuk analisis ramalan dan pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan sekali gus mengukuhkan kepimpinan kami dalam inovasi digital.

"Keyakinan kami didorong oleh prospek peningkatan hiperhubungan dan pendigitalan merentas semua segmen pelanggan semasa kami menavigasi masa depan dengan berkesan, memanfaatkan peluang yang muncul serta berusaha untuk pertumbuhan dalam semua bidang perniagaan TM," katanya.

Melangkah ke tahun 2024, TM sudah bersedia untuk mengembangkan perniagaannya dengan menjangkakan tahun yang penuh dengan cabaran mengujakan ditambah dengan pelbagai peluang menarik, kata Zainal.

Seiring dengan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dijangka berkembang antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus tahun ini, beliau berkata peningkatan ini mencerminkan landskap yang sudah bersedia untuk inovasi dan kemajuan.

"Merujuk kepada Belanjawan 2024, kerajaan telah memperuntukkan pelaburan yang besar untuk kemajuan digital dan automasi.

"Selain peruntukan Rangka Kerja Pengujian Keselamatan Siber 5G, dana pinjaman RM900 juta disediakan untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), khusus untuk meningkatkan produktiviti perniagaan melalui automasi dan pendigitalan," katanya.

Sebagai peneraju dalam ketersambungan nasional dan penyedia infrastruktur digital, TM kekal di barisan hadapan dalam melaksanakan pelan gentian nasional sambil menerajui pelancaran 5G di seluruh negara, kata Zainal.

"Peranan aktif TM dalam pelaksanaan 5G, disokong oleh infrastruktur gentian seluruh negara, platform digital dan kekayaan pengalaman, kami sudah bersedia untuk memacu kemajuan yang ketara," katanya.

-- BERNAMA